Sabtu, 18 Mac 2017

7 Tips Ajar Anak Membaca Sebelum Usia 4 Tahun

Tiada umur yang boleh dikatakan terlalu awal untuk ajar anak membaca. Malah, lebih awal didedahkan dengan buku, tentulah lebih bagus kerana ia membuka seribu satu kemungkinan kepada anak-anak kecil ini.


Sebenarnya, ibu bapa adalah guru pertama anak, dan dalam mengajar membaca, ia pun tidak terkecuali. Jika betul tekniknya, anda boleh menjadikan anak anda bijak membaca seawal usia tanpa perlu dipaksa.

Berikut adalah tips yang boleh anda manfaatkan kepada anak-anak pada usia 4 tahun atau lebih awal. Cubalah!

7 Tips Ajar Anak Membaca Sebelum Usia 4 Tahun
Semasa ajar anak membaca, tanamkan prinsip ini supaya mereka lebih cepat fokus dan faham, sekaligus mengasuh kemahiran membaca.

1. Tunjukkan Gambar
-Sebelum anak mula pandai membaca dan mengenal huruf, mereka lebih dahulu akan memahami gambar. Oleh itu, tanamkan minat terhadap buku dengan memperkenalkan gambar-gambar yang menarik perhatian mereka. Kemudian, tunjukkan gambar tersebut dan sebutkan perkataan yang berkaitan. Proses ini dapat meningkatkan kosa kata mereka dan menggalakkan kemahiran membaca mereka.


2.Labelkan Barang
-Perkataan yang selalu dilihat seperti nama sendiri dan 'sign board' di jalanan adalah antara perkataan pertama yang boleh dibaca oleh anak. Mengapa? Kerana mereka berulangkali melihatnya sehingga terhafal walaupun tanpa mereka sedari. Oleh sebab itu, jangan hadkan proses membaca hanya pada buku. Sebaliknya, maksimakan apa yang berada di persekitaran anda. Melabel atau meletakkan perkataan dalam sesebuah 'natural setting' adalah salah satu usaha membantu mereka untuk membaca dengan mudah. Anda boleh melabelkan barangan anak-anak yang selalu digunakan seperti buku, atau baju pada almari. Apabila berada diluar, tunjukkan mereka perkataan yang terdapat sekeliling mereka. Tidak hairanlah kebanyakkan anak kecil belajar membaca dengan 'meneka' rupa bentuk perkataan, bukannya melalui ejaan.



3.Mengira Benda
-Mengira apa saja benda di sekeliling anda adalah aktiviti yang amat mudah dilakukan bersama-sama. Selain mendedahkan anak dengan ilmu asas kenal nombor, sebenarnya mengira benda juga membuka ruang kepada anak untuk mempelajari kosa kata. Di samping itu, ia membantu mereka mengingat turutan dan menghafalnya dengan baik.


4.Aksi Dan Suara Yang Menarik
-Jangan malu menggunakan kepelbagaian nada dan tona suara - rendah, tinggi, kelakar, menyanyi dan sebagainya. Lakukan juga macam-macam gaya supaya mereka dapat meniru serta memahaminya. Boleh juga menggunakan 'puppet' atau anak patung unuk menjadikan cerita anda lebih menarik.


5.Baca Dengan Anak Berulang Kali
-Normal bagi seorang anak kecil yang asyik meminta kita mengulang membaca buku yang sama. Elakkan daripada menunjukkan reaksi marah atau bosan kerana sebenarnya tindakan ini ada alasan saintifik yang tersendiri. Menurut sebuah jurnal, kemahiran bahasa dan kemampuan otak dapat berkembang dengan lebih mantap apabila anak-anak melakukan pengulangan terhadap bahan bacaan yang mereka minati. Bolehkah membayangkan bagaimana anda mahu mendengar lagu yang anda minati berulang kali sehingga dapat menyanyi bersama dan menghafal liriknya? Begitu jugalah yang berlaku pada si kecil anda.


6. Biar Mereka Memilih
-Jangan hadkan bahan bacaan terhadap pilihan anda sahaja. Jika mereka masih belum memilih, anda boleh mengambil 2 atau 3 buku yang baik dan menunjukkannya kepada mereka. Kemudian, beri mereka buat pilihan yang mana untuk dibaca bersama. Anda juga boleh membawa mereka ke perpustakaan seawal mungkin. Memberi pilihan kepada anak-anak sedikit sebanyak memberi mereka rasa lebih bersemangat dan 'empowered'. Proses ini turut dapat melatih mereka membat keputusan.


7.Pelbagaikan Sumber & Topik Bacaan
-Sekiranya anak-anak nampak kurang berminat atau tidak merespon terhadap bahan bacaan yang anda perkenalkan, jangan cepat berputus asa. Mungkin belum sampai tahapnya mereka memahami apa yang cuba disampaikan melalui buku tersebut. Cuba lagi selepas beberapa minggu atau bulan. Sementara itu, cuba lakukan aktiviti lain yang diminati seperti bermain. Apabila anda mengenali minat mereka, tentu lebih mudah untuk anda mencari sumber dan topik bacaan yang sesuai dengan minat mereka.

Jangan terlalu memaksa anak-anak untuk membaca. Apabila mereka rasa terpaksa, ia akan mula disetkan didalam otak mereka bbahawa belajar membaca adalah proses yang membosankan dan sukar. Dengan memupuk tabiat membaca yang seronok dan santai anda sebenarnya dapat ajar anak membaca tanpa mereka sedari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan