Selasa, 13 Jun 2017

Pantang Larang Makanan Selepas Bersalin, Perlukah Di ikut ?

Pantang larang selepas bersalin merupakan suatu kepercayaan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat yang mengaitkan sesuatu makanan dengan kemudaratan kepada ibu lepas bersalin, dan harus dielak dalam satu tempoh yang dipanggil tempoh berpantang. Hampir semua masyarakat Malaysia mempunyai kepercayaan pantang larang ini.

Walaubagaimanapun, daripada segi perubatan dan kajian saintifik, tiada yang membuktikan bahwa makanan-makanan ini akan memberi kemudaratan kepada ibu lepas bersalin dan perlu dielakkan. Oleh yang demikian, ia bergantung kepada kepercayaan ibu itu sendiri sama ada untuk mengamalkan pantang larang ini. Namun, kunci utama iaitu pengambilan makanan yang seimbang dan sihat perlulah dipatuhi untuk kekal sihat.

Perlukah diet khusus semasa berpantang ?
Sebenarnya, tiada diet atau makanan yang khusus semasa ibu berpantang.

Lazimnya, pengambilan makanan ibu semasa berpantang banyak dipengaruhi oleh kepercayaan pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat wanita tersebut.

Tiada halangan jika ibu ingin mengamalkan pantang larang dalam pemakanan tetai kunci utamanya adalah diet yang seimbang dan makan secara sihat.

Mitos dan fakta dalam amalan pantang larang pemakanan selepas bersalin

#Jangan makan ubi-ubian

MITOS
Ibu dalam pantang tidak dibenarkan makan makanan dari ubi-ubian seperti keledek, keladi dan ubi kayu kerana makanan ini dipercayai menggangu proses pencernaan dan menyebabkan ibu kembung perut.

FAKTA
Ubi-ubian merupakan makanan bijirin yang membekalkan karbohidrat sebagai sumber tenaga. Jika ibu tidak boleh mengambil ubi-ubian semasa dalam pantang, ibu boleh mengambil makanan gantian daripada kumpulan bijirin yang lain seperti nasi sebagai sumber karbohidrat dalam diet ibu,

#Mengelak makanan "sejuk"

MITOS
Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kangkung, petola, timun, tembikai dan pisang dianggap "sejuk" dan tidak boleh diambil oleh ibu dalam pantang. Mengelakkan makanan sejuk dikatakan dapat membantu melancarkan proses pengaliran darah dan melambatkan proses pemulihan. Makanan sejuk menyebabkan kembung perut, kejang otot dan sakit-sakit badan.

FAKTA
Tiada kajian saintifik yang dapat membuktikan bahawa mengelak makanan-makanan ini memberi sebarang faedah kepada kesihatan ibu dalam pantang. Pengambilan sayur dan buah-buahan amat penting sebagai sumber :

  • vitamin
  • mineral
  • fitokimia
  • serat
Serat amat penting untuk melancarkan pembuangan najis bagi mencegah masalah sembelit yang sering kali dialami oleh ibu yang baru bersalin . Malaysia kaya dengan kepelbagaian sayur dan buah, Oleh yang demikian, ibu yang dalam berpantang boleh memilih sayur dan buah yang tidak dianggap "sejuk" untuk memastikan keperluan harian buah dan sayur dipenuhi. Contohnya, sayur-sayuran seperti sawi hijau, bayam, kucai, ulam-ulaman (pegaga, daun cekur dan ulam raja). Buah-buahan (Betik, oren dan pisang).

#Ikan, ayam dan telur adalah "bisa"

MITOS
Beberapa jenis ikan, ayam, telur dan beberapa jenis buah-buahan seperti nenas dianggap "bisa" dan "tajam". Makanan berbisa dikatakan boleh melambatkan penyembuhan luka bersalin serta boleh menyebabkan pendarahan bagi ibu dalam pantang.

FAKTA
Makanan ini merupakan sumber terbaik bagi :
  • protien
  • garam mineral
  • vitamin
Ibu dalam pantang memang perlu mengambil secukupnya makanan sumber protein seperti ikan, ayam, telur dan kekacang. Sumber protein amat penting untuk memulihkan luka akibat bersalin sama ada luka faraj atau pembedahan. Salah satu fungsi protein adalah pembentukan tisu-tisu badan yang membantu luka untuk sembuh,

Selain itu, makanan ini juga membekalkan zat besi yang penting untuk pembentukan sel darah merah bagi menggantikan darah yang banyak hilang semasa proses kelahiran dan dapat mencegah masalah anemia. Kekacang juga merupakan sumber serat yang baik.

Ibu selepas bersalin memerlukan banyak protein. Oleh itu, elakkan amalan hanya mengambil ikan kering semasa berpantang kerana ini boleh memudaratkan kesihatan. Partikan diet harian ibu mengandungi sumber makanan daripada kumpulan ini.

#Ibu dalam pantang tidak boleh minum air

MITOS
Ibu dalam pantang tidak boleh minum air dengan banyak kerana dipercayai boleh menyebabkan urat saraf menjadi kembang.

FAKTA
Ibu dalam pantang perlu minum air secukupnya iaitu 6-8 gelas sehari. Kepercayaan ibu dalam pantang perlu mengehadkan pengambilan air adalah perlu dielakkan. Pengambilan air yang mencukupi penting untuk :
  • memulihkan kecergasan badan
  • keseimbangan elektrolit
  • mengawal suhu badan
Pengambilan air secukupnya amat penting bagi ibu yang menyusukan bayi untuk menggantikan air yang diguna untuk menghasilkan susu ibu. Seseorang ibu menghasilkan anggaran 800ml atau 4 gelas susu sehari.

Akhir kata, ibu dalam pantang dinasihatkan agar tidak mengamalkan pantang larang pemakanan yang keterlaluan. Janganlah sampai makan nasi dengan ikan sahaja, mana nak dapat nutrien untuk menyusu dan memperbaiki sistem badan kan >\? Sekian, semoga bermanfaat.

Tiada ulasan:

Catat Komen